RSS

Sunday 10 March 2013

Lilitan selendang


Gaya selendang yang kreatif membuatkan penampilan nampak elegan
.
KUALA LUMPUR - fesyen tudung hari ini membuatkan Jesrina Jasni turut terpanggil bagi mengeluarkan koleksi tudung rekaan sendiri untuk diniagakan.
Jesrina, model yang sering terpilih untuk menggayakan fesyen tudung daripada butik-butik tudung terkenal kini berbangga kerana berjaya memiliki koleksi tudung sendiri yang dinamakan Jazrina Designs.
Menurut Jesrina, sebenarnya telah setahun beliau menghasilkan rekaan tudung namun hanya baru-baru ini berkesempatan menjualnya melalui dalam talian.
Sebelum ini katanya, hanya kawan-kawan rapat yang menempah untuk dipakai ke tempat kerja atau tempahan untuk mereka yang akan berkahwin.
Menggunakan fabrik yang bermutu seperti krep, lycra, kain kapas dan syifon, tudung Jazrina Designs dibuat dalam bentuk selendang panjang kerana selendang kini semakin popular dan diminati oleh pelbagai golongan usia.
Selendang tanpa corak lebih mendapat permintaan kerana mudah disuai padan namun Jesrina turut mengeluarkan selendang bercorak dan selendang batik.
Warna-warna bumi seperti hitam, coklat, krim, kelabu paling banyak mendapat permintaan. Pun begitu, warna-warna blok turut boleh diperoleh seperti kuning mustard, merah muda, biru, hijau dan sebagainya.
Terdapat juga selendang 'hoody' yang dibuat siap dengan penutup kepala. Cara pemakaiannya juga mudah, iaitu dipakai bersama anak tudung dan sarungkan selendang 'hoody' ke kepala. Kemaskan dengan menggunakan jarum peniti.
Satu lagi keistimewaan tudung dan selendang Jazrina Designs ialah beliau turut membuat sendiri aksesori untuk digayakan bersama-sama koleksinya.
Di antara aksesori menarik yang dihasilkan ialah cekak elastik yang dijahit manik, sepit rambut yang dihiasi batu-batu berkilat, kerongsang yang diubah suai sebagai perhiasan kepala dan leher dan banyak lagi.'
Ini memudahkan pelanggan untuk menggayakan tudung yang dibeli bersama-sama aksesori yang sepadan. Jika tidak mempunyai idea bagaimana hendak menggayakan, Jesrina dapat membantu dengan menyesuai padan untuk anda.
Mengenakan harga yang mampu dibeli oleh kebanyakan pelanggan, iaitu maksimum RM50 bagi selendang dan cekak elastik RM15 ke atas, Jesrina berhasrat untuk menghasilkan lebih banyak koleksi pada masa hadapan memandangkan sambutan yang diterima begitu menggalakkan.

0 comments:

Post a Comment