RSS

Sunday 10 March 2013

Fesyen Muslimah Dari blog ke butik


 JOHOR BHARU- pertama kali bertemu dengan blogger, Nurul Hidayati Jalidar, penulis berasa kagum dengan pencapaiannya dalam usia yang muda iaitu 23 tahun.
Pemilik blog Nurul Cakap Cakap itu kini mampu berbangga dengan butik pakaian miliknya yang terletak di Shah Alam, Selangor. Butiknya itu menjual pelbagai pakaian dalam rangkaian jenamanya sendiri.
Dengan menggunakan nama Nurul Wonder Wardrobe, bisnes butiknya itu menjadikannya sibuk mengembangkan perniagaan tanpa melupakan dirinya juga seorang blogger.
Ini kerana semua hasil yang dikecapinya itu bermula daripada blog yang banyak memberikan inspirasi kepadanya dalam mengembangkan perniagaan.
Dia yang dilahirkan dan dibesarkan di Kota Kinabalu, Sabah ini sudah lama menetap di Shah Alam sejak di bangku sekolah lagi.
Namun jika ada masa lapang, dia pasti akan terbang ke Negeri Di Bawah Bayu untuk bertemu dengan saudara mara serta kawan-kawan yang sentiasa dirindui.
Mari kita kenali blogger kecil molek ini yang gigih berusaha dalam mencapai cita-citanya untuk mengembangkan lagi perniagaan yang diceburinya dengan lebih dekat. - AMIRUL/IZHAM JAAFAR
Berborak di blog
Blog Nurul Cakap Cakap ditubuhkan sejak 2007 selepas habis peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pada awalnya, konsep blog saya adalah bercerita mengenai kehidupan seharian. Nama Nurul Cakap Cakap timbul kerana saya gemar untuk berborak. Maka saya jadikan blog sebagai salah sebuah medium untuk berborak dan bercakap dengan pembaca. Semakin lama, saya jadi semakin aktif untuk mengemaskini blog dan ia seakan rutin seharian saya. Lebih-lebih lagi, ramai pengikut turut memberi komen dalam blog dan ini menguatkan semangat saya untuk menulis.
Beringat semasa menulis
Walaupun blog ini berbentuk peribadi, namun terdapat beberapa etika yang perlu digariskan bagi sesiapa sahaja yang mempunyai blog iaitu menjaga sensitiviti orang lain dalam entri yang dibuat. Ini kerana bukan kita sahaja yang membaca, tetapi semua pengikut bahkan yang buat blog walking juga akan membaca. Jadi, isu-isu yang sensitif dan berat perlu dikupas dengan baik dan bukan hanya memberi sebelah persepsi sahaja hingga ada yang terasa hati. Perkara ini pernah berlaku kepada saya dan saya kini sedar bahawa walaupun blog adalah milik peribadi, namun kita berkongsi dengan orang lain.
Untuk suka-suka
Saya tidak pernah terfikir bahawa blog saya mampu berada di tahap sekarang ini kerana pada awalnya, ia adalah untuk suka-suka mengisi masa lapang. Mungkin rezeki saya ada di sini. Pembaca blog Nurul Cakap Cakap kini terdiri daripada mereka yang berumur 14 hingga 35 tahun. Kebanyakan isu yang dikupas adalah fesyen, isu-isu semasa dan tidak spesifik pada satu-satu perkara sahaja. Saya gemar menulis perkara yang informatif atau sesuatu yang boleh dikupas dengan lebih mendalam di antara pembaca blog.
Buka butik
Semasa saya mulai aktif menulis di blog, saya memuat turun gambar yang memaparkan seluruh pakaian yang saya pakai dari hujung rambut hingga hujung kaki. Maklum balas daripada pengikut sangat memuaskan. Ada yang bertanya di mana saya beli baju, kasut, skirt dan beg. Dari situ, saya rasakan bahawa ramai pembaca yang berminat dengan fesyen sehinggalah saya menjual pakaian yang saya gunakan (terpakai) dalam blog dan hasilnya kesemua baju saya habis dengan cepat. Dari situ, barulah saya betul-betul menceburi bidang ini dengan bermula di bazar sebelum mengambil keputusan membuka butik sendiri.

 http://www.iluvislam.com/inspirasi/tokoh/1165-farrah-a-awin-yakin-fesyen-mampu-martabat-imej-islam.html

0 comments:

Post a Comment